Skip to content

PROTECTHEALTH OPTIMIS MENYARING SERAMAI 23,500 WARGA JOHOR YANG LAYAK DI BAWAH SKIM PeKa B40 PADA 2022

12 OGOS 2022, JOHOR BAHRU – ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) kekal fokus melalui pelbagai langkah agresif yang dilaksanakan untuk menyaring lebih 23,500 rakyat di Johor yang layak bagi tahun 2022, di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (Peka B40), berdasarkan prestasi positif yang dicatatkan pada enam bulan pertama tahun ini.

Jumlah saringan sepanjang enam bulan pertama yang berjaya direkod adalah sebanyak 13,001, berbanding 4,756 saringan yang dijalankan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr. Anas Alam Faizli menyatakan ProtectHealth yakin untuk mencapai sasaran tersebut apabila jumlah saringan di Johor dilihat menunjukkan peningkatan dua kali ganda dalam tempoh masa antara 1 Januari hingga 31 Julai tahun ini berbanding tempoh masa yang sama pada tahun lepas, iaitu seramai 5,523 kepada 17,165 orang.

“Walaupun menghadapi cabaran dalam mendidik golongan yang disasarkan mengenai penjagaan kesihatan, kami yakin sasaran itu boleh dicapai dan akan menyumbang kepada sasaran keseluruhan untuk PeKa B40 bagi tahun 2022, iaitu untuk menyaring sekurang-kurangnya 200,000 penerima di bawah skim ini di seluruh Malaysia.

“Sasaran peringkat kebangsaan pada tahun ini adalah dua kali ganda daripada jumlah yang dicapai PeKa B40 pada tahun 2021 iaitu sebanyak 101,673 saringan,” katanya sambil menambah di Johor, sejak PeKa B40 dilaksanakan pada 15 April 2019 sehingga 31 Julai 2022, seramai 63,961 individu telah berjaya disaring.

ProtectHealth komited untuk memenuhi misinya dalam menyediakan saringan kesihatan percuma kepada orang ramai yang berada dalam kumpulan berpendapatan 40% terbawah (B40) dan berumur 40 tahun dan ke atas, melalui skim kesihatan ini dan menggalakkan mereka yang layak di Johor untuk tampil membuat saringan kesihatan percuma ini. Antara manfaat lain yang ditawarkan oleh Skim PeKa B40 ini termasuk Bantuan Alat Kesihatan, Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser dan Insentif Tambang Pengangkutan.

Dengan sasaran yang ditetapkan dan dalam meneruskan momentum pemulihan, ProtectHealth sentiasa memperhebatkan lagi usaha melalui pelbagai program yang telah dirancang sepanjang tahun ini, termasuk siri ‘roadshow’ kesihatan yang dinamakan ‘Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS)’ yang turut dilancarkan di peringkat negeri Johor oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Tebing @ Bandar Dato’ Onn di sini, hari ini.

PeKa B40 direka bentuk untuk memberi tumpuan kepada pengesanan awal dan pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit seperti diabetes, hipertensi, kanser dan penyakit jantung atau dikenali sebagai NCD dalam kalangan B40. Oleh itu, penerima akan lebih mengetahui status kesihatan mereka secara keseluruhan.

PeKa B40 dilaksanakan untuk memberi fokus kepada pengesanan awal Penyakit Tidak Berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, kanser dan penyakit jantung atau dikenali sebagai (Non-Communicable Disease – NCD) dalam kalangan B40. Oleh itu, penerima akan lebih mengetahui status kesihatan mereka secara keseluruhan.

“Penduduk berpendapatan rendah di Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dalam mennjaga kesihatan, khususnya berkaitan NCD, kesihatan mental dan pemakanan, dan ini pada asasnya kerana kekangan kewangan. Inilah sebab mengapa mereka perlu menggunakan skim ini.

“Kami juga telah memulakan beberapa siri penglibatan dan program jangkau luar untuk Skim PeKa B40 di seluruh negara, untuk menyebarkan kesedaran tentang PeKa B40 dan memastikan program itu lebih mudah diakses oleh Rakyat, dan tiada siapa yang ketinggalan dalam soal penjagaan kesihatan. Pemeriksaan awal boleh menyelamatkan nyawa dan menjimatkan kos kerana langkah ini dapat mencegah komplikasi, membuat rawatan awal dan meningkatkan jangka hayat yang berkualiti,” kata Dato’ Dr. Anas.

Orang ramai boleh menyemak kelayakan dengan memasukkan nombor kad pengenalan mereka di laman web kami di https://kelayakan.pekab40.com.my/semakan-kelayakan.

Skim PeKa B40 di Johor disokong oleh 288 klinik swasta, 93 klinik kerajaan (Klinik Kesihatan), 12 hospital kerajaan dan 22 makmal patologi.

Kesihatan Anda, Misi Kami
PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.