PENGLIBATAN PROTECTHEALTH DALAM PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN BAGI SEKTOR EKONOMI KRITIKAL

Susulan kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) dan dipetik oleh beberapa akhbar bahawa ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) menetapkan bayaran RM50 bagi vaksinasi, ProtectHealth ingin menafikan perkara ini.

Bagi memberi penerangan tuntas, ulasan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam sidang media pada 9 Jun dan 14 2021 baru-baru ini perlu dirujuk. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan melibatkan sektor ekonomi kritikal di dalam Fasa 4 (Fasa Kawalan Wabak). Fasa ini bergerak seiring dengan Fasa 2 dan Fasa 3 mengikut keperluan. Sektor ekonomi kritikal ini adalah terutamanya bagi sektor yang perlu terus beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan sektor yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara dalam tempoh pandemik ini.

Para pekerja yang terlibat dalam pelaksanaan vaksinasi ini akan menerima vaksin yang telah dibeli oleh Kerajaan. Walau bagaimanapun, pihak majikan perlu mendapat kelulusan Kementerian yang terlibat bersama kelulusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan menampung kos penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut spesifikasi teknikal dan prosedur yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kos pengoperasian PPV industri dan bayaran kepada pengamal perubatan swasta yang terlibat dalam program pemberian vaksin di bawah ProtectHealth hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan. Semua Kementerian yang terlibat akan bertanggungjawab memastikan caj yang dikenakan adalah pada kadar minima dan bukan bermaksud mengaut keuntungan dan tidak membebankan pihak industri yang terlibat dalam program ini.

Pihak majikan tidak dibenarkan mengenakan sebarang caj kepada pekerja mereka. Pihak majikan juga bertanggungjawab penuh kepada pelaksanaan PPV yang baik. Selepas kelulusan CITF, ProtectHealth akan menguruskan pengendalian dan suntikan vaksin dengan kos RM15 bagi setiap suntikan dos menerusi penglibatan pengamal perubatan swasta.

Sehubungan itu, kos tambahan pengoperasian PPV yang dinyatakan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) sebagai nominal fee adalah penetapan PPK sendiri, tidak ditentukan ProtectHealth, dan bukan juga dibayar kepada ProtectHealth.

Penyertaan sektor atau syarikat juga adalah bersifat pilihan dan bukan mandatori. Majikan serta pekerja yang tidak menyertai pemberian vaksinasi kepada sektor ekonomi kritikal ini masih akan menerima vaksin COVID-19 secara percuma di bawah fasa arus perdana PICK apabila tiba giliran mereka.

PROTECTHEALTH CORPORATION SDN BHD
12 JUN 2021

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA STATUS PROTECTHEALTH CORPORATION SDN BHD YANG DITUBUHKAN DI BAWAH KEMENTERIAN KESIHATAN

ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) ditubuhkan pada 19 Disember 2016 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). ProtectHealth, sebuah syarikat tidak berasaskan keuntungan berperanan menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif berkaitan pembiayaan perkhidmatan kesihatan sepertimana diamanahkan oleh Kerajaan.

ProtectHealth juga ditubuhkan melalui mandat Jemaah Menteri sebagai Pembeli Strategik (Strategic Purchaser) untuk meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan negara sambil memastikan kos penjagaan kesihatan yang munasabah. Tadbir urus entiti ini dipantau oleh Governance, Monitoring and Evaluation Committee (GMEC) di mana ahli-ahlinya terdiri daripada wakil Jabatan Akauntan Negara, Penasihat Undang-Undang, SPRM, Pejabat Menteri Kesihatan dan ahli akademik.

ProtectHealth beroperasi menjalankan inisiatif dan program berkaitan penjagaan kesihatan sebagai penghubung dan pemudahcara dalam kerjasama Awam-Swasta. ProtectHealth berperanan membantu mengoptimumkan sumber sedia ada di samping meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan.

Pada 15 April 2019, selaras dengan mandat penubuhan ProtectHealth sebagai Pembeli Strategik, organisasi ini melaksanakan tugasan sebagai pentadbir Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40 (PeKa B40).

Bermula 12 November 2020, ProtectHealth dilantik sebagai pengendali Pembekal Perkhidmatan Elektronik (ESP) untuk Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) berdasarkan pengalaman dan kemampuan sebagai Pembeli Strategik KKM. Pada 19 Februari 2021, ProtectHealth dilantik oleh Kerajaan sebagai pelaksana penyertaan Pengamal Perubatan Swasta dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi Fasa 2 & 3 untuk membantu kerajaan melaksanakan PICK dengan lebih efesien.

ProtectHealth mempunyai lima orang Ahli Lembaga Pengarah iaitu Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah (Pengerusi) dan Dato’ Mohd Shafiq Abdullah sebagai wakil Kementerian Kesihatan Malaysia, Datin Rosni Mohd Yusoff, wakil Kementerian Kewangan, En. Johari Abdul Muid dan En. Nurhisham Hussein daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bebas. Ahli Lembaga Pengarah ProtectHealth tidak menerima sebarang gaji atau elaun bulanan Lembaga Pengarah.

Pekeliling Perkhidmatan 3 tahun 1985 bertajuk Garis Panduan Mengenai Perlantikan dan Peranan Pegawai Kerajaan Sebagai Pengerusi, Ketua Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Awam, Syarikat-Syarikat Kerajaan dan Syarikat-Syarikat Kepentingan Kerajaan, jelas menyatakan bahawa penjawat awam dibenarkan untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah bagi syarikat di bawah Kerajaan termasuklah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
3 JUN 2021

PENGLIBATAN PENGAMAL PERUBATAN SWASTA DALAM PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) ingin memberi maklumbalas berhubung kegusaran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di beberapa media berkaitan proses pemberian lampu hijau kepada Pengamal Perubatan Swasta sebelum dibenarkan terlibat dalam Program lmunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pada 8 Mac 2021 menerusi sesi sidang media Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), YB Dato’ Sri Dr Adham Baba dan YB Khairy Jamaluddin telah mengumumkan penglibatan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat. Bagi tujuan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melantik ProtectHealth sebagai pelaksana penglibatan Pengamal Perubatan Swasta dalam PICK.

Berhubung dakwaan tiada sesi libat urus bersama MMA, ingin dimaklumkan bahawa pada 2 April 2021, ProtectHealth telah mengadakan sesi taklimat PICK dengan kerjasama MMA dan dihadiri kira-kira 200 ahli persatuan. Selain itu, ProtectHealth sendiri telah mengadakan lebih 15 sesi taklimat dan latihan kepada semua Pengamal Perubatan Swasta yang berdaftar juga diadakan secara berterusan bermula 29 Mac 2021 melibatkan lebih 6,000 pengamal perubatan swasta.

Untuk rekod, sehingga kini lebih 2,600 Pengamal Perubatan Swasta telah berdaftar dengan ProtectHealth bermula 8 Mac 2021 dan daripada jumlah ini hampir 800 telah menyatakan kesediaan untuk menjalankan vaksinasi. Sebagai memastikan pengendalian vaksinasi adalah mengikut standard dan piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kesemua Jabatan Kesihatan Negeri sedang bertungkus-lumus memudah cara dalam memaksimumkan penglibatan Pengamal Perubatan Swasta ini.

Dijangkakan proses memberi lampu hijau bagi penglibatan 800 Pengamal Perubatan Swasta yang telah menyatakan kesediaan ini akan diselesaikan secepat mungkin dan vaksinasi dapat dijalankan segera. Sehingga kini, lebih 200 Pengamal Perubatan Swasta telahpun menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan menjalankan vaksinasi di bawah PICK.

ProtectHealth amat menghargai kesediaan Pengamal Perubatan Swasta dalam membantu mempercepatkan usaha ke arah pembentukan imuniti kelompok, dan dalam masa yang sama ingin menegaskan bahawa terdapat pelbagai perkara yang perlu dititikberatkan serta pelbagai pemegang taruh perlu dilibatkan kerana ia melibatkan kesihatan awam. ProtectHealth ingin mengambil peluang menjemput semua 9,200 fasiliti kesihatan swasta yang berdaftar dengan KKM untuk bersama-sama terlibat dalam PICK dan meningkatkan kapasiti dos sehari bagi mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera.

PROTECTHEALTH CORPORATION SDN BHD
1 JUN 2021