Skip to content

SARINGAN KESIHATAN PeKa B40 DI SARAWAK MENINGKAT LEBIH DUA KALI GANDA DALAM DUA SUKU PERTAMA

15 SEPTEMBER 2022, SIBU – Saringan kesihatan yang dijalankan di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di Sarawak meningkat lebih dua kali ganda dalam tujuh bulan pertama tahun ini.

Semua ini disumbangkan oleh 16,325 saringan kesihatan yang dilakukan dari 1 Januari 2022 hingga 31 Julai 2022 di Sarawak, berbanding 7,274 saringan yang dijalankan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) kekal fokus melalui pelbagai langkah agresif yang dilaksanakan untuk menyaring lebih 22,300 rakyat di Sarawak yang layak bagi tahun 2022, di bawah Skim Peka B40, berdasarkan prestasi positif yang dicatatkan pada tujuh bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dato’ Dr. Anas Alam Faizli menyatakan ProtectHealth yakin untuk mencapai sasaran tersebut apabila jumlah saringan di Sarawak dilihat menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda dalam tempoh masa antara 1 Januari hingga 31 Julai tahun ini berbanding tempoh masa yang sama pada tahun lepas, selepas dua tahun jumlah saringan dilihat menurun disebabkan oleh COVID-19.

“Walaupun menghadapi cabaran dalam mendidik golongan yang disasarkan mengenai penjagaan kesihatan, kami yakin sasaran itu boleh dicapai dan akan menyumbang kepada sasaran keseluruhan untuk PeKa B40 bagi tahun 2022, iaitu untuk menyaring sekurang-kurangnya 200,000 penerima di bawah skim ini di seluruh Malaysia.

“Sasaran peringkat kebangsaan pada tahun ini adalah dua kali ganda daripada jumlah yang dicapai PeKa B40 pada tahun 2021 iaitu sebanyak 101,673 saringan,” katanya sambil menambah di Sarawak, sejak PeKa B40 dilaksanakan pada 15 April 2019 sehingga 31 Ogos 2022, seramai 96,427 individu telah berjaya disaring.

Dato’ Dr. Anas berkata ketika dalam satu sesi lawatan ke Klinik Yek dan Klinik Kesihatan (KK) Jalan Lanang. Klinik Yek merupakan Klinik Swasta yang mencatatkan saringan kesihatan PeKa B40 tertinggi di Sibu manakala KK Lanang mencatatkan saringan tertinggi untuk KK di Sibu.

Sementara itu, di Sibu, sebanyak 11,757 saringan telah dijalankan dan terdapat seramai 44,350 yang layak tetapi masih belum membuat saringan.

Bagaimanapun, Sibu telah merekodkan 41% peningkatan jumlah saringan dari 1 Januari hingga 31 Julai 2022 (2,438) berbanding tempoh yang sama tahun lepas (1,726).

ProtectHealth komited untuk memenuhi misinya dalam menyediakan saringan kesihatan percuma kepada orang ramai yang berada dalam kumpulan berpendapatan 40% terbawah (B40) dan berumur 40 tahun dan ke atas, melalui skim kesihatan ini dan menggalakkan mereka yang layak di Sarawak untuk tampil membuat saringan kesihatan percuma ini.

Antara manfaat lain yang ditawarkan oleh Skim PeKa B40 ini termasuk Bantuan Alat Kesihatan, Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser dan Insentif Tambang Pengangkutan.

Dengan sasaran yang ditetapkan dan dalam meneruskan momentum pemulihan, ProtectHealth sentiasa memperhebatkan lagi usaha melalui pelbagai program yang telah dirancang sepanjang tahun ini, termasuk siri ‘roadshow’ kesihatan yang dinamakan ‘Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS)’ yang turut dilancarkan di peringkat negeri di seluruh Malaysia.

PeKa B40 dilaksanakan untuk memberi fokus kepada pengesanan awal Penyakit Tidak Berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, kanser dan penyakit jantung atau dikenali sebagai (Non-Communicable Disease – NCD) dalam kalangan B40. Oleh itu, penerima akan lebih mengetahui status kesihatan mereka secara keseluruhan.

“Penduduk berpendapatan rendah di Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dalam mennjaga kesihatan, khususnya berkaitan NCD, kesihatan mental dan pemakanan, dan ini pada asasnya kerana kekangan kewangan. Inilah sebab mengapa mereka perlu menggunakan skim ini.

“Kami juga telah memulakan beberapa siri penglibatan dan program jangkau luar untuk Skim PeKa B40 di seluruh negara, untuk menyebarkan kesedaran tentang PeKa B40 dan memastikan program itu lebih mudah diakses oleh Rakyat, dan tiada siapa yang ketinggalan dalam soal penjagaan kesihatan. Pemeriksaan awal boleh menyelamatkan nyawa dan menjimatkan kos kerana langkah ini dapat mencegah komplikasi, membuat rawatan awal dan meningkatkan jangka hayat yang berkualiti,” kata Dato’ Dr. Anas.

Orang ramai boleh menyemak kelayakan dengan memasukkan nombor kad pengenalan mereka di laman web kami di https://kelayakan.pekab40.com.my/semakan-kelayakan

Skim PeKa B40 di Sarawak disokong oleh 288 klinik swasta, 93 klinik kerajaan (Klinik Kesihatan), 12 hospital kerajaan dan 22 makmal patologi.

Your Health, Our Mission
PROTECTHEALTH CORPORATION SDN. BHD.